HAFIZ HAMIDUN MAHU TAMPIL RAPPER DALAM LAGUNYA

Penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun yang baru sahaja melancarkan album ketiga "Zikir Terapi" baru-baru ini akui sudah mempunyai perancangan untuk menghasilkan album seterusnya.



Menurut penyanyi berusia 30 tahun yang pernah menerima anugerah triple platinum selepas album "Zikir Terapi" telah berjaya terjual mencecah 400,000 unit, beliau mahu muncul dengan album terbaru yang akan mengetengahkan konsep genre nasyid.

"Ya, sebenarnya saya rindu untuk mempunyai album nasyid seperti pada zaman bersama kumpulan UNIC dahulu. Jadi saya kembali menghasilkan album pop ketuhanan.

"Sehingga kini, saya sudah merakamkan tiga buah lagu. Insya-Allah jika tiada aral melintang, album baru itu akan dilancarkan dalam bulan Mac tahun depan.

"Dalam album itu, saya sudah merancang untuk berkolaborasi dengan beberapa artis lain antaranya Tomok. Saya juga mengimpikan untuk berkolaborasi dengan mana-mana penyanyi hip hop di negara ini bagi membawa lagu yang mengandungi unsur nasyid," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Hafiz berkata, beliau merancang untuk menggantikan konsert yang terpaksa ditunda baru-baru ini dengan persembahan zikir di Menara Kuala Lumpur, "Exclusive Night With Hafiz Hamidun at Mega View" pada 7 November depan.

Sementara itu, selain menyanyi, Hafiz turut mempunyai perniagaan fesyennya sendiri iaitu Mikraj Concept yang terletak di Empire Damansara, Damansara Perdana.

"Butik saya menempatkan pelbagai jenama baju koleksi jubah milik saya sendiri, aksesori, jubah lelaki dan wanita serta banyak lagi.

"Saya masuk dalam bidang ini kerana saya ingin membuka peluang kepada pembeli secara dalam talian untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka ke dunia nyata. Saya juga ada merancang untuk membuka cawangan di setiap negeri."





0 Response to "HAFIZ HAMIDUN MAHU TAMPIL RAPPER DALAM LAGUNYA"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...