ADLIN AMAN RAMLIE, KESAL KISAH BAPA DIEKSPLOITASI



Pelakon Adlin Aman Ramlie kesal apabila kisah ayahnya, Allahyarham AR Tompel yang dipaparkan dalam telefilem biopik "Saloma" berunsur tohmahan dan banyak kesalahan fakta sehingga menjejaskan tanggapan masyarakat seolah-olah ayahnya adalah punca Saloma menderita.

Adlin berkata demikian mengenai telefilem terbitan syarikat produksi Kus Semangat Aktor milik Melissa Saila yang dipercayai memberi impak buruk kepada mereka.

"Telefilem itu telah memberi impak buruk kepada waris-waris AR Tompel, termasuklah saya sebagai anaknya. Malah saya percaya, peminat-peminat setia ayah juga pasti terkilan selepas menontonnya.

"AR Tompel telah dieksploitasi oleh pihak penyiar, penulis, penerbit, pengarah dan pelakon dalam pelbagai nada prejudis malah berunsur kecaman yang telah mengaibkan sehingga mampu menjejaskan kredibiliti dan reputasinya," ujar Adlin seperti dipetik dari mStar.

Menurut Adlin, pihaknya yang diwakili oleh peguam dari Azam & Co telah menghantar notis awal kepada Astro agar telefilem tersebut dihentikan siarannya, tetapi tiada sebarang respons diberikan.

Justeru itu, satu sidang media berkenaan isu tersebut akan diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada petang Khamis.

"Memandangkan notis yang diberikan sebelum ini tiada respons, maka saya bersama waris-waris AR Tompel yang lain akan mengambil tindakan seterusnya.

"Pihak kami akan menjelaskan lebih terperinci berkenaan perkara ini pada sidang media nanti.

"Tambahan pula telefilem itu tidak mendapat kebenaran daripada mana-mana waris untuk memaparkan kisah ayah saya dan perwatakannya telah dipersembahkan tanpa dirujuk daripada sumber yang sah," katanya.

Telefilem "Saloma" yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu "Mencuri Guruh" dan "Pandang Kaseh" telah disiarkan menerusi saluran Astro First bermula 28 Ogos lalu.

Ia telah diterajui oleh Nabila Huda sebagai Saloma, Tony Eusoff (Tan Sri P. Ramlee), Azhan Rani (AR Tompel), Sazzy Falak (Mariani) dan Sharifah Amani (Siput Sarawak).

0 Response to "ADLIN AMAN RAMLIE, KESAL KISAH BAPA DIEKSPLOITASI"

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...