Pelakon popular Pekin Ibrahim berkata dia kini mahu memberi perhatian pada kerjaya lakonannya selepas hubungan cintanya dengan aktres Uqasha Senrose kandas di pertengahan jalan.
"Saya tidak pernah hendak menyalahkan sesiapa jika banyak kisah peribadi saya diperkatakan selama ini. Saya jenis yang tidak kisah. Apa yang berlaku dalam hidup saya, dalam kisah cinta, memang itulah yang diketahui semua. Saya jalan terus, benda dah jadi, saya tak perlu menyesal jika ramai orang tahu hal peribadi saya.
"Sekarang saya mahu buat apa yang saya suka. Saya tak kisah orang kata saya pernah mendapat publisiti dan populariti gara-gara sensasi percintaan. Ada ketikanya publisiti yang negatif itu baik juga untuk saya," katanya yang dipetik dari Kosmo!
Dalam pada itu, Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri "Seludup" yang diarahkan oleh Jehan Miskin.
"Dalam "Seludup", saya memegang watak bernama Amran. Dia seorang nelayan dan usahawan. Kontra dengan watak yang macam baik. "Seludup" sebenarnya membawa cerita berat tentang aktiviti penyeludupan barang-barang haram seperti rokok, dadah, minuman keras dan pemerdagangan manusia."
Tambah aktor berusia 33 tahun itu lagi, dia seronok berlakon dalam drama ini kerana dapat bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat seperti Nam Ron, Tiz Zaqyah, Syafie Naswip dan Raja Ilya.
Dalam perkembangan lain, Pekin juga bakal memulakan penggambaran dua buah filem iaitu "Rock 3" arahan Mamat Khalid dan sebuah lagi filem dengan pengarah "Bunohan" Dain Said.
0 Response to "SELEPAS PUTUS CINTA, PEKIN IBRAHIM FOKUS PADA LAKONAN"
Post a Comment